Pergi ke kandungan

Masjid Negara

Masjid Negara Malaysia
‏مسجد نݢارا‎‎
Maklumat am
Cabang/mazhabAhli Sunnah Wal Jamaah
Mula dibina27 Februari 1963
Siap dibina1965
Dibuka pada27 Ogos 1965 ( 61 Tahun )
StatusAktif
Maklumat pentadbiran
ImamYBrs. DR. Amru AlHaz bin Adnan (Imam Besar)
Maklumat geografi
NegaraMalaysia
LokasiJalan Perdana, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur
Koordinat3°8′31″U 101°41′30″T / 3.14194°U 101.69167°T / 3.14194; 101.69167
Maklumat pembinaan
Gaya seni binaRekabentuk Moden Tempatan
Bil. kubah1 Bumbung Berkonsep Payung Terbuka
Bil. menara1 Menara Berkonsep Sekaki Payung Terkuncup
Ketinggian menara75 m
Kapasiti jemaah15,000
KeluasanKawasan 5.26 hektar Bangunan Utama 1.21 hektar
ArkitekDato Ar. Haji Baharuddin Abu Kassim (Ketua)
Dato Dr Ikmal Hisham Albakri
Howard Ashley
KosRM 10 juta (1963)
Laman sesawang
www.masjidnegara.gov.my

sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Masjid Negara ialah masjid utama di Malaysia yang terletak di ibu negara Kuala Lumpur. Masjid ini dibina pada tahun 1963 sebagai tanda kesyukuran pemimpin dan rakyat atas kemerdekaan Tanah Melayu yang telah dicapai tanpa peperangan. [1] Pembinaan masjid ini adalah atas cadangan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Masjid Negara telah dirasmikan pada 27 Ogos 1965 oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Yang Di-Pertuan Agong ketiga. Masjid Negara menjadi lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan merupakan simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk pada waktu itu.

Masjid Negara juga menjadi lambang semangat perpaduan dan toleransi rakyat kerana pembinaannya telah melibatkan semua kaum. Ini kerana selain daripada peruntukan wang kerajaan persekutuan, kos pembiayaan membina Masjid Negara turut disumbangkan oleh rakyat jelata tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. [1] Direkabentuk oleh orang berketurunan Melayu, dibina bersama oleh orang Cina dan India, dan dibiayai oleh sumbangan masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu, Masjid Negara adalah salah satu simbol warisan dan perpaduan negara yang harus dipelihara. [2]

Fakta Menarik Masjid Negara

[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang Masjid Negara:

  1. Ketika siap dibina pada 1965, Masjid Negara adalah masjid terbesar di Malaysia dan salah satu masjid termoden di Asia Tenggara.[3]
  2. Menara Masjid Negara ketika siap dibina adalah binaan menara masjid tertinggi di Malaysia pada ketinggian 75 meter. [4]
  3. Masjid Negara (dan Makam Pahlawan) telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan (Bangunan) pada 6 Julai 2007 oleh Jabatan Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). [5]
  4. Masjid Negara mencatat kunjungan pelancong masjid yang kedua tertinggi di Malaysia pada tahun 2024 dengan jumlah pengunjung seramai 299,076 orang. [6]

Masjid Negara terletak di tengah-tengah Pusat Bandaraya Kuala Lumpur iaitu bersebelahan Jalan Sultan Hishamuddin dan berhampiran Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Muzium Kesenian Islam, Muzium Diraja Polis Malaysia, dan pejabat Pos Malaysia. Terdapat beberapa juga taman rekreasi berdekatan Masjid Negara seperti Taman Rama-Rama Kuala Lumpur, Taman Burung Kuala Lumpur, Taman Orkid Kuala Lumpur dan Taman Botani Perdana (dulu dikenali sebagai Taman Tasik Perdana).

Binaan Masjid dan Fasiliti

[sunting | sunting sumber]
Dewan sembahyang utama dari luar

Masjid Negara terletak di atas tapak seluas 13 ekar (5.26 hektar) dan mampu menampung sehingga 15,000 jemaah. [3] Bangunan dua tingkat ini mempunyai keluasan lantai 23,409 kaki persegi dan terdiri daripada dewan sembahyang utama, beranda berbumbung sebagai ruang solat tambahan, serta sebuah menara yang terletak di tengah kolam pancuran air. Keseluruhan kawasan masjid dikelilingi tembok konkrit dan pagar berhias, mempunyai laman luas dengan elemen landskap air, serta tujuh pintu masuk ke bangunan utama.

Selain ruang solat dan wuduk, Masjid Negara turut dilengkapi pelbagai fasiliti selaras dengan peranannya sebagai Pusat Dakwah Terunggul Negara, antaranya dewan syarahan, bilik kuliah, perpustakaan Syeikh Mohamad Idris Al-Marbawi, galeri, kaunter pelancong, kaunter Islamic Outreach ABIM, dewan pernikahan, kafeteria, kios cenderahati, serta pejabat pentadbiran.[7] Makam Pahlawan dan tanah perkuburan di sekitarnya tidak termasuk sebagai sebahagian daripada bangunan masjid.

Seni Bina Masjid Negara

[sunting | sunting sumber]

Reka Bentuk Bumbung dan Menara

[sunting | sunting sumber]
Bumbung Masjid Negara (bercorak biru) dan bumbung Makam Pahlawan (putih)

Ketika siap dibina pada tahun 1965, Masjid Negara merupakan masjid yang mempunyai reka bentuk termoden di Asia Tenggara. Ahli akademik mengklasifikasikan reka bentuk Masjid Negara sebagai modernistic expressionism. [8] Istilah expressionisme memberi maksud sebarang seni bina yang membawa mesej metafora melalui penggunaan bentuk yang menzahirkan ekspresi struktur. Ini terbukti dalam reka bentuk bumbung masjid yang "beropol" atau folded plate (plat berlipat), satu metafora struktur menyerupai payung diraja, melambangkan semangat dan kedaulatan raja yang memayungi negara dan berpegang kepada prinsip Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.[1] Menara masjid pula berkonsepkan sekaki payung yang terkuncup, yang tinggi dan kukuh sebagai lambang kesetiaan. [9] Istilah modernistic pula memberi maksud dalam seni bina bangunan terdapat sebahagian sahaja yang mempunyai ciri-ciri ekspresif manakala bahagian yang lain masih mengikut citarasa seni bina moden yang umum.

Ringkasnya, reka bentuk Masjid Negara adalah bercirikan seni bina moden yang digabungkan dengan unsur kesenian Melayu tempatan, tanpa meniru seni bina masjid-masjid tradisional di Malaysia yang terdahulu, termasuk seni bina India Utara (Moghul) yang berasaskan kubah. Arkitek Dato Baharudin, memperoleh inspirasi reka bentuk bumbung setelah memerhatikan kerabat diraja yang sentiasa diiringi bersama dengan payung. [10] Simbol payung sebagai lambang kebesaran diterjemahkan dalam bentuk payung kertas berlipat bagi menyesuaikan dengan penggunaan konkrit. Bukan sekadar simbolik, beliau memastikan reka bentuk bumbung yang praktikal sesuai dengan iklim Malaysia, sama seperti tudung saji dan terendak yang dapat melindungi pemakainya daripada terik matahari dan hujan. [11]

Bentuk ukiran jerjak besi yang mengelilingi bangunan ini dan dom-dom kecil yang berada di sebelah atas beranda adalah berasaskan rekabentuk Sarasin, tetapi ia disesuaikan dengan rekaan moden. Beranda itu terlindung dari luar oleh tirai kekisi dari aluminium dengan terawangnya berawan larat Islam asli. Lantainya dibina daripada kepingan terrazo manakala bumbungnya pula dibina daripada konkrit serta mempunyai beberapa kubah kubah kecil yang dibina daripada mozek biru.

Di tengah-tengah kolam pancuran air di tingkat satu, berdiri tegak sebuah menara masjid. Ia digunakan untuk mengumandang azan setiap kali waktu sembahyang. Menara ini berketinggian 235 kaki daripada lantai ke hujung lambang bulan bintang.

Dalam bangunan menara ini disediakan sebuah lif untuk naik ke pentas menara. Pentas ini tingginya 140 kaki daripada tanah. Ada juga sebuah anak tangga berpilin disediakan di sebelah lif itu. Dua dinding menara yang saling bersetentangan masing-masing bertampal dengan papak batu kapur dan terazzo serta dua dinding yang masing-masing bersetentangan itu lagi berhias dengan kekisi terazzo.

Puncak-puncak menara masjid dikemaskan dengan mozek kaca putih. Gerabak lif disediakan dalam menara. Gerabak lif ada tingkap kaca untuk membolehkan penumpang dalam lif itu melihat bandar Kuala Lumpur. Menara itu diterangi oleh lampu berjalur, menjadikannya kelihatan menarik sekali pada waktu malam.

Sebelum sampai ke dewan sembahyang di tingkat pertama terdapat sebuah halaman besar. Di bahagian tengah halaman ini terdapat 48 kaki payung konkrit manakala di rusuknya pula terdapat kolam-kolam beserta beberapa buah pancuran bagi menyejukkan keadaan sekeliling.

Dewan Sembahyang

[sunting | sunting sumber]
Bahagian Siling Dewan Sembahyang

Dewan sembahyang itu bertembok konkrit tetulang dan dilekapkan dengan batu marmar Itali. Terdapat sembilan buah pintu lorot aluminium di sepanjang tiga bahagian tembok berkenaan. Beberapa potong ayat al-Quran ditulis melintangi tembok di atas pintu bahagian dalam dewan sembahyang itu. Tulisan berukuran dua kaki tinggi diadun dengan mozek keemasan dan kebiruan yang berkilat. Bumbungnya yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih.

Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran – seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul,Turki. Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Morocco. Muka tembok yang mengelilingi mihrab ini diubah suai mengikut seni bina Morocco. Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar yang berbentuk seperti beranda ini dibina daripada kayu.

Menganjung dari keempat-empat bahagian tembok itu pula terletak sebuah galeri untuk kaum wanita dan para pelawat yang ingin melihat bahagian dalam dewan sembahyang tersebut. Bahagian dalam galeri itu dihiasi oleh kekisi yang awan laratnya jelas menunjukkan kebudayaan Islam dan menyerupai pula awan larat yang terdapat di Masjid Taj Mahal dan Patehphur Sikri di India. Bahagian luarnya diturap dengan kekisi terrazzo. Kesembilan-sembilan buah pintu dan kekisi galeri membawa cahaya matahari ke dalam dewan sembahyang itu di samping lampu-lampu berhias, lampu-lampu tersembunyi di roset aluminium di bumbung serta 16 buah tepak lampu (chandelier) kurniaan raja-raja, gabenor-gabenor dan bekas Gabenor Singapura.

Dewan Syarahan

[sunting | sunting sumber]

Di sebelah barat bangunan masjid ialah dewan syarahan yang berkapasiti 500 orang. Rekabentuk yang menarik ialah bumbung konkritnya yang berbentuk seperti ombak. Dewan ini bertiraikan kekisi terrazo di luarnya. Di sini juga terdapat sebuah galeri dan perpustakaan.

Seni Hias Masjid Negara

[sunting | sunting sumber]

Dewan Sembahyang Utama

[sunting | sunting sumber]
Arah kiblat Dewan Solat Utama Masjid Negara

Dinding dewan sembahyang dilekapkan dengan batu marmar Itali yang dihiasi dengan tulisan khat ayat suci Al-Quran dalam seni khat jenis Thuluth, mengelilingi dewan. Tulisan khat ini berukuran 2 kaki tinggi dan diukir diatas mozek Itali bertanah biru dengan tulisan berwarna emas. Tiang-tiang konkrit pula diiukir dibahagian atasnya dengan motif organik manakala bahagian bawahnya dihiasi susunan mozek bercorak Zilliji. Bumbung yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri.

Bahagian Dalam Bumbung

[sunting | sunting sumber]
Replika ayat Al-Quran dari Masjid Biru Istanbul di bawah bumbung dewan sembahyang

Tepat di tengah-tengah bawah bumbung terdapat replika sebenar ayat-ayat suci Al-Quran yang diukir di atas panel aluminium, seperti yang terdapat di bawah kubah besar Masjid Biru di Istanbul. Di sepanjang bahagian bawah tepi bumbung, terdapat tingkap berbentuk segi tiga yang dilitupi kaca bercorak dan berwarna dan dihiasi tulisan Allah الله dan Muhammad محمد .

Bahagian Luar Bumbung

[sunting | sunting sumber]

Pada awalnya, bahagian luar bumbung konkrit diletakkan lapisan mozek berwarna emas putih dan kaca yang memberi imej permukaan yang licin dengan warna seakan-akan merah. Bagaimanapun, pada tabun 1987, ianya diubahsuai kepada jubin berwarna biru dan hijau yang lebih menyerlah warnanya.

Mihrab (kiri) dan Mimbar kayu (kanan)

Mihrab Masjid Negara berbentuk pintu gerbang bertinggian 4.3 meter dan lebar 2.98 m, dan dihiasi kerawang dan ayat-ayat Al-Quran dalam seni tulisan khat Thuluth. Dahulu mihrabnya berbentuk seperti pintu dengan sedikit bersegi di bahagian atasnya tetapi telah diubah suai menjadi bentuk melengkung seperti sekarang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Thulath. Dinding mihrab pula dihiasi mozek berwarna biru gelap dengan corak seni Zellij yang dibuat khas oleh pakar tradisi seramik di Maghribi. [12] Penggunaan seni ‘Zellij’ melambangkan kemewahan dan ia adalah satu bentuk merangkumi campuran bentuk-bentuk geometrik yang pelbagai warna sekaligus menambahkan seri pada mihrab berkenaan.

Bahagian dalaman dinding sebelah atas mihrab pula ditampal dengan ukiran tangan mengikut corak seni bina Mukarnas. Hiasan mukarnas menampilkan sistem unjuran, pengulangan dan penggandaan berbentuk ceruk yang berfungsi sebagai dekorasi di bahagian peralihan struktur bangunan.

Mimbar, tempat imam berkhutbah pula, berbentuk berandah dan dibina daripada kayu.

Sejarah Pembinaan Masjid Negara

[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah penerangan tentang pembinaan Masjid Negara dalam buku Masjid Negara terbitan Jabatan Penerangan Malaysia sempena perasmiannya pada 1965: [9]

Cita-Cita Membina Masjid Negara

[sunting | sunting sumber]

Cita-cita untuk membina Masjid Negara timbul kira-kira sebulan sebelum Merdeka apabila Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan memutuskan bahawa sebuah masjid patut dibina dan dinamakan sempena nama Tunku Abdul Rahman, sebagai hadiah rakyat atas kejayaan beliau memimpin negara mencapai kemerdekaan secara aman. Selepas Merdeka, rancangan tersebut diperkenankan oleh Persidangan Raja-Raja Melayu dan sebuah Jawatankuasa Pengelola Pusat ditubuhkan dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak sebagai Pengarah dan Pesuruhjaya Ibu Kota (Datuk Bandar), Tuan Haji Ismail bin Panjang Aris sebagai Setiausaha. Jawatankuasa ini diberi mandat untuk mencari tapak sesuai, menguruskan wang kerajaan, serta menggerakkan kutipan derma awam dari seluruh negara, sebelum sebuah Jawatankuasa Kerja terdiri daripada 9 orang sukarelawan dilantik pada Oktober 1958 untuk melaksanakan pembinaan masjid.

Mencari Wang

[sunting | sunting sumber]

Tugas utama Jawatankuasa Kerja yang pertama ialah mencari wang untuk pembinaan Masjid Negara. Pada Januari 1959, Jemaah Menteri bersetuju untuk menyumbang kepada kos pembinaan, yang pada awalnya dianggarkan sebanyak $5 juta namun kemudian dinaikkan kepada $10 juta bagi memenuhi keperluan sebuah masjid untuk negara yang setaraf dengan kedudukan negara berdaulat. Setelah menerima jaminan kerajaan sebanyak $4.5 juta, Jawatankuasa Kerja melancarkan kempen derma awam dari seluruh negara melalui penubuhan jawatankuasa peringkat negeri diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri. Surat rayuan derma dihantar kepada wakil-wakil rakyat, golongan kaya dari pelbagai kaum, dewan dan syarikat perniagaan, dan badan kebudayaan. Kempen ini merupakan usaha kutipan derma Kebangsaan yang pertama kali seumpamanya di Malaysia.

Sambutan Menggalakkan

[sunting | sunting sumber]

Sambutan terhadap rayuan derma amat menggalakkan, dengan sumbangan diterima daripada individu dan pertubuhan pelbagai kaum dari seluruh negara, termasuk angora polis, Angkatan Tentera dan pelajar Malaysia di luar negara, sekaligus mencerminkan semangat perpaduan nasional. Antara penyumbang awal ialah Kerajaan Brunei sebanyak $25,000, Yayasan Shaw sebanyak $26,000, serta Jawatankuasa Masjid Muslim India Selatan mewakili kaum India Selatan yang mengumpul $18,716. Manakala lebih 100 individu dan firma menyumbang melebihi $1,000 setiap seorang, yang mana penderma terbesar ialah Senator J. S. Crawford yang menderma $250 setiap bulan sejak awal kempen. Secara keseluruhan, sumbangan orang ramai berjumlah $3 juta, manakala kerajaan-kerajaan negeri menyumbang $2.5 juta, menjadikan jumlah kutipan derma bagi pembinaan Masjid Negara sebanyak $5.5 juta.

Masalah Memperoleh Tanah Untuk Tapak Bangunan

[sunting | sunting sumber]

Daripada beberapa tapak yang dicadangkan, lokasi berhampiran Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Stadium Negara dan Stadium Merdeka dipilih atas saranan Tunku Abdul Rahman kerana kawasan tersebut sering menjadi tumpuan upacara negara serta memudahkan umat Islam dari luar bandar menunaikan solat dan berehat. Memandangkan tanah kerajaan di kawasan itu tidak mencukupi, Jawatankuasa Masjid telah berunding dengan pemilik tanah bersebelahan yang telah memberi kerjasama sepenuhnya serta bersetuju untuk berpindah ke tapak lain. Sebagai membalas budi, pihak jawafankuasa telah membayar wang sagu hati yang munasabah. Bangunan yang terlibat termasuklah kuarters polis, rumah kerajaan, Kelab Galloway (kedai keluarga anggota tentera), bangunan Suruhanjaya Perkhidmatan Keretapi, Masonic Lodge dan Gereja Jalan Venning. Kerjasama yang diberikan, khususnya oleh pihak gereja dan pemilik Masonic Lodge, mencerminkan semangat toleransi beragama yang jelas sejak awal kemerdekaan.

Menyediakan Rekabentuk

[sunting | sunting sumber]

Tugas menyediakan rekabentuk Masjid Negara bukanlah mudah. Pada mulanya, Jawatankuasa Masjid hendak mengadakan pertandingan terbuka dari seluruh dunia bagi mendapatkan bakat-bakat terbaik. Cadangan ini bagaimanapun ditolak, dan pertandingan dicadangkan untuk dibuat dalam negara sahaja. Cadangan ini juga ditolak. Maka, Jawatankuasa Masjid memutuskan untuk menyerahkan kerja mereka bentuk masjid serta penyeliaannya kepada Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya. Kerja mereka bentuk masjid diserahkan kepada Baharudin Abu Kassim, yang ketika itu ialah seorang arkitek muda di Jabatan Kerja Raya.

Mengkaji Rekabentuk Masjid Termasyhur

[sunting | sunting sumber]

Pasukan arkitek Jabatan Kerja Raya telah mengumpul dan membandingkan reka bentuk masjid-masjid termasyhur dunia, dengan bantuan Kementerian Hal Ehwal Luar yang berhubung dengan Republik Arab Bersatu bagi mendapatkan cadangan reka bentuk. Republik tersebut telah memberi respon yang sangat baik dan banyak menghantar reka bentuk masjid dan ini telah banyak membantu pasukan arkitek. Bagi mengkaji rekabentuk masjid termasyur lain secara lebih dekat, Baharudin telah pergi ke Brunei, India, Pakistan, Turki, Republik Arab Bersatu, beberapa negara Arab, dan Sepanyol. Setelah melalui pelbagai proses, model rekabentuk Masjid Negara telah diluluskan oleh Jawatankuasa Masjid pada bulan Jun tahun 1990.

Menyediakan Tempat dan Menentukan Kiblat

[sunting | sunting sumber]

Peringkat awal pembinaan Masjid Negara melibatkan penyediaan tapak, termasuk perobohan bangunan sedia ada, pembersihan kawasan, perataan tanah serta pemasangan sistem saliran bawah tanah, yang dilaksanakan oleh kontraktor tempatan Messrs K.C. Boon dan Cheah dalam tempoh dua tahun. Seterusnya, upacara penetapan arah kiblat telah dilakukan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada 29 September 1961 bersama Juru Ukur Negara, Tuan Haji Mohd Yatim bin Yahya, dengan penentuan kiblat dibuat secara saintifik menggunakan alat teodolit optik berketepatan tinggi.

Tawaran Membuat Bangunan dan Meletakkan Batu Asas

[sunting | sunting sumber]

Selepas tempat tapak disediakan dan kiblat ditentukan, barulah Jawatankuasa Masjid mula menerima tawaran daripada kontraktor. Pada mulanya, tawaran-tawaran yang diterima melebihi anggaran perbelanjaan asal maka diputuskan bahawa bahan-bahan perlu ditukar daripada batu marmar tempatan kepada terrazo. Akhirnya tawaran yang diberi oleh Messrs Lim Chong Syarikat Pembinaan Berhad diterima. Pada 27 Februari 1963, upacara meletakkan batu asas Masjid Negara telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Perutusan Perdana Menteri Tuanku Abdul Rahman

[sunting | sunting sumber]

Dalam buku juga ini, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah menulis perutusan yang berikut:

Syukur saya ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan taufiq dan hidayah serta pertolongannya, maka cita-cita saya yang terpendam di sudut hati selama ini sudah terkabul. Pada 27 Ogos ini, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan merasmikan pembukaan Masjid Negara yang menjadi lambang keagungan agama Islam di negara kita ini.

Masjid Negara adalah merupakan bibit cita-cita saya yang saya kandung semenjak saya memimpin rakyat dan negara Malaysia ini. Selain saya dapat berkhidmat dan berbakti kepada negara, maka saya juga ingin menyumbangkan khidmat dan bakti terhadap agama Islam yang menjadi agama rasmi negara. Masjid Negara yang tersergam indah di tengah-tengah ibu negara Malaysia ini, bukan sahaja akan menjadi lambang kemegahan agama Islam tetapi juga akan menjadi tempat pertemuan dan tumpuan orang-orang Islam untuk bermuafakat dalam mencari maslahat bagi kemajuan agama dan perpaduan hidup rakyat dalam negara kita yang muda ini.

Bagi saya Masjid Negara ini menjadi lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia kerana masjid ini dibangunkan bukan semata-mata oleh derma orang Islam sahaja tetapi juga dari derma orang-orang bukan Islam yang mempunyai semangat kerjasama dan taat setia yang tyda berbelah bagi pada negara ini. Inilah salah satu keistimewaan yang ada dalam negara kita ini.

Kepada semua pihak bersangkutan yang telah berusaha dengan tidak mengenal penat lelah sehingga berjaya mendirikan Masjid Negara ini, juga kepada para dermawan yang budiman, saya menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya. Semoga Allah memberkati kita semua dengan taufik dan hidayahNya. Amin.

Sambutan 50 Tahun Masjid Negara

[sunting | sunting sumber]

Tan Sri Dato' Seri Dr Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad

[sunting | sunting sumber]

Beliau berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara ke-12 dari 2007 sehingga 2019, beliau merupakan Imam Besar Masjid Negara paling lama berkhidmat, iaitu selama 12 tahun.

Pada 7 Disember 2010, Shaikh Ismail Muhammad dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Terengganu 2010. Beliau banyak memberi sumbangan dan khidmat kepada pembangunan dakwah Islam di Malaysia. Shaikh Ismail membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala serta sijil penghargaan. Anugerah telah disampaikan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam. Tokoh Maal Hijrah lain ialah keluarga Muhamad Abu Bakar turut menerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali negeri Terengganu.

Fail:Tan Sri Syekh Ismail Muhammad bersama Barack Obama.jpg
Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad bersama Barack Obama (Presiden Amarika Syarikat) sewaktu berkunjung ke Masjid Negara pada 27 April 2014.
Fail:Barack Obama visits Heroes' Mausoleum, National Mosque Malaysia.jpg
Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad bersama Barack Obama di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan Pada 9 Ogos 2021, Shaikh Ismail Muhammad dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2021 di atas sumbangan beliau dalam menyebarkan Syiar Islam. Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin[3] sambil disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Beliau juga merupakan Imam Besar Masjid Negara yang paling lama bertugas.

Beliau telah meninggal dunia pada usia 81 tahun. Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya selepas solat jenazah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Senarai Imam Besar Masjid Negara

[sunting | sunting sumber]

Senarai Imam Besar Masjid Negara (1965 hingga sekarang)

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. 1 2 3 "Portal Masjid Malaysia: Masjid Negara". Portal Masjid Malaysia. JAKIM.
  2. ↑ "Sejarah Masjid". Laman Rasmi Masjid Negara Malaysia.
  3. 1 2 "Video Korporat Masjid Negara". Youtube.
  4. ↑ "National Mosque of Malaysia". Youtube.
  5. ↑ "Warisan Kebangsaan 2007". Portal Rasmi Jabatan Warisan Negara.
  6. ↑ "Tiga masjid Malaysia tarik lebih 833,000 pelancong". Sinar Harian.
  7. ↑ "Profil Korporat". Laman Rasmi Masjid Negara Malaysia.
  8. ↑ Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (2007). "Mosque Architecture in Malaysia: Classification of Styles and Possible Influence" (PDF). Journal Alam Bina. 9 (3): 1–37.
  9. 1 2 Jawatankuasa Kechil Penerangan dan Achara (1965). Masjid Negara. Jabatan Penerangan Malaysia.
  10. ↑ "The man behind Masjid Negara's iconic "umbrella dome"". Malay Mail. 5 September 2015.
  11. ↑ "Umbrella of Faith". New Straits Times. 13 Oktober 2015.
  12. ↑ "Seni Mihrab". Harian Metro. 30 Jun 2017.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]


Masjid MADANI